Jimmy Shanley tidak akan ceraikan isteri



KUNJUNGAN Kosmo! ke kediaman keluarga mertua Jimmy Shanley untuk merakamkan gambar-gambar anak sulungnya Zahrah Shanley yang ketika itu baru berusia lima hari disambut baik oleh Jimmy, isterinya Nursuhaila Eliani, 25, dan juga keluarga mertuanya meskipun kemelut rumah tangga mereka masih belum berakhir.

Ketepikan semua sengketa, kini, dengan kelahiran puteri sulung buat Jimmy dan Suhaila dan cucu ketiga dalam keluarga Datuk Suhaimy Othman dan Datin Muniroh Kasim pada 24 Jun lalu secara pembedahan di Pusat Perubatan Putra, Sungai Buloh, semua pihak cuba memberi yang terbaik kerana tidak mahu Zahrah yang masih belum mengerti apa-apa menerima kesannya.

“Pertama kali saya dukung Zahrah, satu perasaan yang tidak pernah saya rasa muncul dalam diri. Saya menangis dan gembira dalam masa yang saya, satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan.
“Selepas kelahiran Zahrah saya ketepikan segala ego hanya untuk memberi kehidupan yang sempurna buatnya. 

“Dia perlukan ibunya dan saya sebagai ayahnya, saya tidak mahu mementingkan diri sendiri dan tidak berlaku adil kepada anak saya. Biarlah saya bahagia menjadi seorang bapa kalau saya tidak dapat bahagia menjadi seorang suami. Tetapi dengan kelahiran Zahrah, saya mengharapkan hubungan kami pulih seperti dulu,” ucap Jimmy.

Bergilir-gilir jaga anak
Jimmy yang sebelum ini tinggal berasingan sejak isterinya hamil kini telah kembali ke rumah ibu mertuanya semata-mata mahu menjaga sendiri Zahrah.

“Saya sudah dua hari tidur di sini bersama Zahrah, saya dan ibunya bergilir-gilir menjaganya siang dan malam. Sebelah malam, Zahrah akan tidur dengan saya dan saya menikmati momen terpaksa berjaga tengah malam untuk beri anak susu dan salin lampin.

“Zahrah tidak banyak meragam, dia hanya akan merengek bila nak susu dan salin lampin, selebihnya dia akan tidur. Dia memang anak yang baik,” ujar Jimmy sambil tersenyum bangga dengan puteri sulungnya.
Jelas Jimmy lagi, disebabkan ketika isterinya hamil dia tidak dapat mengikuti sebarang perkembangan Zahrah, dia nekad untuk bekerja hanya pada hari Ahad di Gala TV, Astro Awani selama satu jam selebihnya, Jimmy akan berada di rumah menjaga Zahrah.

“Selama sembilan bulan Zahrah di dalam perut ibunya, kami langsung tidak bersua, hasrat saya untuk mengambil gambar perut ibunya membesar setiap bulan juga tidak kesampaian. Jadi, apabila Zahrah lahir saya mahu berada di sisinya setiap masa dan merakamkan perkembangannya.
“Kalau boleh saya tidak mahu ketinggalan dan tidak sabar menantinya menyebut perkataan pertama, langkah pertamanya dan macam-macam lagi.

“Saya besyukur dan berterima kasih kepada isteri saya kerana melahirkan seorang anak perempuan yang sempurna dan sihat. Saya yakin selepas ini saya akan menjadi lebih kuat untuk mengharungi ujian yang datang,” balasnya.

Walaupun Jimmy dan isterinya masih di dalam krisis, tegas Jimmy, dia tidak sesekali menceraikan isterinya kerana dia sendiri takut akan penceraian setelah menyaksikan sendiri pasangan yang bercerai di depan matanya ketika menghadiri sesi kaunseling di mahkamah syariah.

“Saya tidak pernah memfailkan permohonan untuk bercerai, sebelum ini saya ada ke mahkamah untuk sesi kaunseling dan bila saksikan sendiri satu pasangan bercerai, saya rasa sedih. Bila saya sudah ada anak, lagi saya tidak mahu perkara itu berlaku pada saya dan isteri.

JIMMY di samping Zahrah dan ibu mertua, Datin Muniroh Kassim.


“Sebelum berkahwin, saya sudah berjanji dengan keluarga mertua untuk menjaga isteri dan bertahan dengan segala ujian yang datang, jadi sudah tanggungjawab saya untuk memastikan kerukunan rumah tangga kami. Keluarga mertua tidak berputus asa untuk menjernihkan hubungan kami, kenapa saya perlu berputus asa,” katanya.

Tuturnya lagi, buat masa sekarang, dia tidak mahu menganggu isterinya kerana baru sahaja melahirkan anak, badannya juga masih lemah serta hormonnya masih lagi tidak stabil.

“Biarlah dia berehat, kami sama-sama menjaga Zahrah kerana apa yang penting adalah apa yang terbaik buatnya. Masalah antara kami ditolak ketepi dulu, masing-masing ada kesilapan dan sama-sama perbaiki diri.
“Tanyalah pada mana-mana pasangan yang telah berkahwin, hubungan suami isteri pasti ada pasang surutnya, baru kita lebih mengenali pasangan dan menjadikan saya lebih matang. Baik buruk dia, dia adalah isteri saya, baik buruk saya, saya adalah suaminya, jadi saya doakan yang terbaik untuk hubungan kami,” Jimmy meluahkan harapannya.

Apabila ditanya, adakah tindakannya sebelum ini yang lantang menyuarakan masalah kepada pihak media memberi kesan kepada hubungannya dan isteri. 

Jawab Jimmy, keputusannya untuk memberi kenyataan berhubung masalah rumah tangganya adalah untuk mengelakkan spekulasi yang dicipta pihak tidak bertanggungjawab menjadi bertambah parah.
“Apa yang saya lakukan adalah untuk memberi iktibar kepada orang ramai di luar sana. Dalam perkahwinan, kita harus sabar dan tidak mementing diri sendiri, ya memang sebelum kelahiran Zahrah saya ada terfikir untuk mengambilnya dan menjaganya sendiri.

“Tetapi bila lihat wajahnya, saya tidak mahu menjadi seorang bapa yang kejam, memisahkan seorang anak daripada ibunya. Saya harap apa yang berlaku pada saya menjadi iktibar pada orang lain tidak lebih daripada itu,” ujarnya.

Simbolik nama Zahrah
KASIH bapa. Jimmy amat bersyukur dengan kelahiran zuriat sulungnya ini.


Nama Zahrah yang membawa maksud zahir yang cantik diberi oleh Jimmy. Sebenarnya ia merupakan nama gabungan arwah ibunya Azizah Mohd. Yusof dan ibu mertuanya Muniroh Kasim.
“Memang saya yang pilih nama ini, sebelum itu saya ada berbincang dengan keluarga mertua dan mereka bersetuju dengan nama yang saya pilih. Saya juga merasakan nama Zahrah memang sangat sesuai dengan anak saya,” kata Jimmy lagi.

Meskipun anaknya masih kecil, sudah bermacam-macam perancangan yang dibuat untuk puteri kesayangannya itu.

“Saya mahu dia bersekolah di sekolah kebangsaan bukannya sekolah swasta kerana saya mempunyai zaman persekolahan yang hebat, jadi saya mahu anak saya turut merasainya. Kalau boleh saya juga mahu dia menjadi seorang atlet tenis kerana di Malaysia kita belum ada atlet tenis yang benar-benar bersinar. 

“Harapan saya, selain dia menjadi pengikat kasih saya dan isteri, saya mengharapkan Zahrah menjadi anak yang solehah kerana anak yang akan mendoakan saya apabila saya sudah tiada di dunia kelak,” jawabnya yang inginkan anak seramai lima orang termasuk anak kembar.

Ibu mertuanya yang turut meluahkan rasa syukurnya atas kelahiran Zahrah dalam masa yang sama gagal mengawal air matanya apabila mengenangkan masalah rumah tangga yang dihadapi oleh anak bongsunya dan menantunya itu.

“Saya gembira sangat bila lihat Zahrah lahir, tidak tahu nak cakap macam mana. Saya harap dengan adanya Zahrah hubungan mereka suami isteri akan kembali pulih. Sepanjang hidup saya, inilah masalah dan dugaan yang terbesar pernah saya hadapi.

“Sebagai ibu dan nenek, saya ingin yang terbaik buat mereka, kita cuba pelbagai cara, tunaikan umrah dan apa yang boleh saya lakukan adalah mendoakan kebahagian mereka sehingga ke akhir hayat,” kata Muniroh.


4 comments:

♥MiZz-siHa♥ said...

hope bahagia hendaknye...comel baby die..

fieda said...

bangga sgt dgn jimmy ni...tabah dan sabar menghadapi cabaran kehidupan...

eima said...

bagus la mak mentua die .. tak mcm sesetengah mentua yg kerohkan keadaan

Liz Rohaizat said...

sebak baca. kesian jimmy sampai tak dpt kecapi langsung saat isteri mengandung dan saat janin membesar.

semoga rumah tangga mereka kembali aman damai. kesian kat zahrah kalau perkara tu makin parah